Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan Negara umat Islam khususnya Negeri Sembilan, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
"JANGAN DIUNDANG KEMURKAAN ALLAH"
Bala Allah bila-bila masa boleh datang..!
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mengingkari perintah Allah bermakna kita sengaja mengundang kemurkaan-Nya sebagaimana Firman-Nya di dalam surah Al-Israk ayat 16 yang dibacakan tadi yang bermaksud:
"Apabila sampai saat Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampaui batas dengan kemewahan antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".
Sejak kebelakangan ini kita dapati pelbagai bencana alam yang merunsingkan telah berlaku seperti ancaman tsunami, gegaran bumi, ribut kencang dan lain-lain lagi. Ada kalanya hujan turun dengan kadar yang banyak bukan pada kebiasaan musimnya. Ada kalanya pula cuaca menjadi terlalu panas sehingga ke tahap membahayakan kesihatan manusia. Para Saintis mengkaji dan mengemukakan pelbagai teori yang antaranya mengklasifikasikan senario ini sebagai pemanasan global.
Dari satu sudut yang lain, kita tidak boleh menafikan bahawa senario begini adalah permulaan amaran Allah SWT., kesan dari kerosakan yang dilakukan manusia kepada alam ini. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41;
"Telah nyata pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oIeh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Namun terlalu sedikit di kalangan kita yang ingin mengambil iktibar di sebalik sesuatu yang ditimpakan Allah SWT. Mereka lebih meyakini teori dan pandangan manusia yang hanya bersandarkan pengalaman berbanding ancaman Allah SWT.
Apabila Allah SWT. menurunkan sesuatu bala bencana, sudah pasti ada sebab dan musababnya. Sama ada disebabkan oIeh kezaliman, kemaksiatan, kelalaian terhadap peringatan-peringatan Allah atau mungkin juga sebagai suatu dugaan untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya. Apa yang jelas, apabila bala bencana itu turun, ia tidak memilih sesiapa walaupun ianya berpunca daripada sebahagian pihak sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 25:
"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya".
Pada 26.12.2004 Peristiwa Tsunami telah berlaku dan mengorbankan ribuan nyawa. Masihkah kita ingat lagi, di saat umat Islam bersedia meraikan ‘Iduladha, negara kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh; yang mengorbankan 4 nyawa dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal mereka. Kini, setelah lama berlalu, kita mula dirisaukan lagi dengan gegaran-gegaran bumi yang berlaku di negara-negara jiran?. Apakah kita masih merasa selesa lantaran bencana tersebut tidak berlaku di tempat kita?.
Begitulah antara siri-siri ujian atau mungkin juga bala bencana yang berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling daripada peringatan-peringatan Allah SWT. Ujian atau bala bencana itu tidak terhenti sekadar itu sahaja . . .Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.
Dengan peristiwa seperti ini, sepatutnya membuka mata hati kita semua supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah. Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah semata-mata, sedangkan peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan dan kesombongan mereka sendiri. Malang sekali kerana peristiwa sebegini jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.
Bala bencana boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada siang atau malam tanpa sebarang amaran. Allah juga mengingatkan manusia di muka bumi ini supaya jangan terlalu yakin bahawa mereka terkecuali daripada ditimpa bencana. Ingatlah apabila manusia leka dan membiarkan kemaksiatan bermaharajalela, maka itu merupakan isyarat bahawa mereka bakal diruntuh dan dihancurkan oIeh Allah SWT. Perkara ini telah pun dibuktikan oIeh Allah SWT. kepada kaum-kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita contohnya seperti kaum Nabi Lut ‘Alaihis-Salam yang mengamalkan hubungan sesama jenis, akhirnya dihancurkan dan dilenyapkan dari muka bumi Allah ini. Begitu juga dengan kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain lagi yang ditimpakan bencana oIeh Allah disebabkan keingkaran mereka.
Kita tidak nafikan bahawa segala punca kemurkaan yang mendekatkan kita dengan bala
bencana Allah SWT. telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Antaranya adalah kerana;
Pertama: Terlalu banyak kemungkaran dan maksiat yang dilakukan seperti bunuh, rogol, rompak dan lain-lain lagi.
Kedua: Berleluasanya Pergaulan bebas di kalangan remaja seperti di Taman-taman Rekreasi, di Tempat-tempat Hiburan atau di mana jua sehingga berlakunya maksiat perzinaan yang menghasilkan kes pembuangan bayi.
ketiga : Anak-anak menderhaka kepada kedua ibu bapanya sehingga sanggup meninggalkan mereka yang telah tua di rumah-rumah kebajikan.
Keempat: Amalan rasuah menjadi-jadi dan dianggap amalan biasa sama ada di peringkat bawahan mahu pun di peringkat atasan.
Apa yang menyedihkan, Pusat-pusat Hiburan tumbuh bagaikan cendawan, para artis menjadi pujaan, teguran dan nasihat ulama tidak dihiraukan, malahan mereka pula menjadi bahan hinaan.
Selain itu, tidak kurang juga manusia-manusia jahil yang mendakwa memiliki pelbagai keramat dan 'azimat sehingga ada yang mengakui bahawa pemimpin mereka yang telah mati sebenarnya tidak mati tetapi ghaib yang kononnya dikatakan akan kembali hidup semula. Malah ada juga yang mengaku sebagai rasul kaum atau nabi baru, wali dan sebagainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencari keuntungan diri sendiri dengan cara menyesatkan orang lain. Ke semuanya ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Dalam suasana kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, alangkah baiknya jika para ilmuan, para pemimpin, organisasi dan politik, usahawan, remaja, belia dan para pencinta agama dapat disatukan fikrah dan pendirian mereka seterusnya bersama-sama pihak berwajib membanteras segala kemungkaran dan anasir-anasir yang membawa kerosakan.
Bagi mengelakkan bala bencana Allah ini, marilah kita kembali kepada ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah SWT.
Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat memohon kerahmatan-Nya dan berdoa supaya terhindar daripada mala petaka yang tidak diingini. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka), mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun".(Noh : 10)